50 Tips Terbaik Membina Keluarga Bahagia Oleh Dr Fadzilah Kamsah
Posted by BiLa JeJaRi MeNaiP , Thursday, December 27, 2012 1:34 PM
1. Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami
terbaik. Tanpa berniat dan berdoa anda tidak mungkin jadi suami yang
cemerlang. Ramai suami terlupa.
2. Bersyukur kerana mempunyai
pasangan hidup. Yakinlah bahawa isteri anda adalah pasangan terbaik
yang Tuhan tentukan untuk anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik.
3. Suami mithali menjadi kebanggaan isteri. Pastikan anda membentuk
sifat positif dan istimewa. Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan
yang boleh dibanggakan oleh isteri anda.
4. Setiap hari pulang
dengan senyum dan bersemangat. Apabila suami tersenyum, isteri dan
anak-anak akan bahagia dan rahmat Tuhan akan turun. Senyumlah apabila
sampai ke rumah.
5. Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan
isteri setiap hari. Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan
suami. Berapa minit yang anda luangkan unutk berbual dengan isteri
setiap hari ?
6. Telefon isteri ataupun hantar SMS sekadar
untuk menyatakan yang anda sayang ataupun rindu pada isteri. Isteri anda
akan berasa seronok dan bahagia apabila mendapat panggilan ataupun
mesej tersebut.
7. Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita,
buat lawak atau gurauan yang mesra. Setiap gurauan mengubat hati isteri
dan mengeratkan hubungan suami isteri.
8. Pastikan anda
bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan semasa dalam perjalanan
ke tempat kerja ataupun ke mana sahaja. Ramai suami membazir masa dengan
membisu semasa di dalam kenderaan.
9. Amalkan makan bersama
setiap hari. Berbual mesra dan nasihat menasihati semasa makan. Amalan
ini akan menarik hidayat Tuhan dan mengeratkan hubungan. Elakan berbual
perkara yang melalaikan semasa makan.
10. Ajak isteri mandi
bersama sekali sekala. Bergurau senda semasa mandi bersama adalah sunah
yang dapat mengeratkan hubungan suami isteri.
11. Bantu isteri
melakukan kerja rumah. Ini adalah sunah yang dapat meringankan beban
isteri, mengeratkan kasih sayang dan menbahagiakan pasangan anda.
12. Amalkan mesyuarat keluarga sekerap yang mungkin. Amalan
bermesyuarat menarik hidayat Tuhan,mengeratkan hubungan dan
menyelesaikan banyak masalah.
13. Pastikan penampilan anda
anggun, kemas, bersih, wangi, sihat dan ceria. Ramai suami inginkan
isteri yang mengancam, tetapi mengabaikan Penampilan diri sendiri. Mana
adil ?
14. Didik isteri dengan memberi nasihat dan perigatan
secara hikmah. Jadikan tindakan dan amalan anda sebagai contoh teladan
yang cemerlang. Elakan cakap tak serupa bikin.
15. Berikan
nafkah kepada isteri mengikut keperluan keluarga dan kemampuan suami.
Ramai suami mengabaikan nafkah kerana isteri bekerja. Ramai suami yang
kedekut dan berkira. Ini menyebabkan isteri derita dan rumah tangga
terancam.
16. Jadikan penawar hati kepada isteri. Ambil berat
keperluan dan kemahuan dan peka kepada emosi dan situasi isteri. Isteri
yang bahagia membentuk keluarga sejahtera
17. Sentiasa taat kepada semua perintah Tuhan dan memastikan keluarga juga patuh kepada Tuhan.
18. Suami mithali sentiasa menyimpan rahsia isteri. Ramai suami secara
sengaja ataupun tidak sengaja menceritakan keburukan isteri kepada orang
lain. Ini wajib dihentikan.
19. Muliakan keluarga isteri
seperti keluarga sendiri. Ada suami yang menbeza-bezakan antara
keluarganya dan keluarga isteri. Ada suami yang memusuhi keluarga
isteri. Anda bagaimana ?
20. Bentuk sifat cemburu yang positif.
Cemburu tanda beriman, sayang dan endah. Suami yang tidak cemburu
adalah dayus. Isteri amat suka apabila suaminya ada sifat cemburu. Dia
rasa dihargai.
21. Jadilah suami yang pemaaf. Syurga isteri di
bawah tapak kaki suami. Maafkanlah isteri setiap malam sebelum tidur
supaya rumah tangga bahagia dan isteri mudah masuk syurga.
22.
Tegur kesilapan isteri dengan hikmah dan kasih sayang. Isteri merajuk
bukan sebab ditegur, tetapi cara ditegur yang kasar. Apabila suami
kasar, isteri jadi takut, bingung, hiba dan memberontak.
23.
Gunakan Nabi Muhammad sebagai model. Hidupkan amalan sunah dalam rumah
tangga. Sebut nama rasul apabila mendidik dan menasihati keluarga bagi
mendapat hikmah.
24. Mendahulukan keperluan isteri daripada
orang lain. Ini adalah tertib memberi khidmat. Ramai suami yang
melebihkan orang lain daripada isterinya. Elakan kesilapan ini.
25. Suruh isteri dirikan sembahyang dan ibadah lain. Apabila berjauhan, telefon ataupun SMS bagi mengingatkan sembahyang.
Wasiatkan isteri untuk sembahyang fardu dan sunat. Buat pesanan ini sehingga suami meninggal dunia.
26. Cintai isteri sepenuh hati. Cintai tanpa syarat, bertambah mengikut
usia, penuh kemaafan, memberi tenaga,tidak pernah sensara serta
berteraskan iman dan takwa.
27. Sentiasa berubah secara
positif. Sebelum cuba ubah isteri dan keluarga, ubah diri dulu. Apabila
suami berubah, keluarga akan turut berubah. Apabila suami cemerlang,
isteri akan gemilang.
28. Pamer keprihatian yang tinggi
terhadap keluarga. Ramai suami tidak ambil kisah dengan keluarga
mereka.Cuba tanya apa lagi khidmat tambahan yang patut berikan kepada
keluarga.
29. Pamer kematangan yang tinggi. Orang yang matang
tenang, sabar, waras, bijaksana, dapat membuat keputusan dan cekap
menyelesaikan masalah.
30. Memuliakan semua perempuan bukan
sekadar isterinya. Ramai lelaki cuba hormat wanita tertentu sahaja.Ramai
isteri yang kecewa terhadap suami yang menghina atau tidak hormat
sebarang wanita termasuk pembantu rumah.
31. Bentuk beberapa
sifat wanita yang terpilih dalam diri suami. Nabi Muhammad amat pemalu,
pemaaf, peka,endah dan mudah menangis. Sifat wanita yang ada pada lelaki
menaikkan martabat lelaki dan lebih disayangi wanita.
32.
Mahir dalam menguruskan keluarga. Peka dengan masalah dan karenah ahli
keluarga, cekap mencari punca masalah, mencari alternatif penyelesaian
dan memilih penyelesaian yang optimum.
33. Membaiki diri secara
berterusan. Tingkatkan iman dan takwa, cuci hati dengan sembahyang
taubat, istighfar,memaafkan dan minta maaf, berkawan dengan orang yang
baik, pendapatan yang berkat dan baiki amalan dan tindakan.
34.
Jadi contoh atau model terbaik untuk keluarga. Doa dan usaha supaya
setiap perbuatan anda dapat dicontohi dan dibanggakan ahli keluarga.
Apakah sifat dan amal anda yang dapat dicontohi oleh ahli keluarga ?
35. Jadikan diri anda pendorong dan motivator berkesan unutk keluarga.
Sentiasa beri galakan dan belaian. Elak marah, kritik ataupun hina
keluarga. Fikir positif dan bersangka baik terhadap keluarga.
36 Tingkatkan ilmu berkenaan agama. Lazimnya, suami yang mendidik
keluarga berkenaan agama. Belajarlahilmu agama dengan niat mendidik diri
dan keluarga.
37. Sentiasa menegakkan kebenaran. Tegas
menyatakan apa yang buruk dan apa yang baik. Elak mengenepikan kebenaran
semata-mata bagi menjaga hati ahli keluarga. Tegakkan kebenaran dengan
hikmah.
38. Bertindak tegas dan lemah lembut mengikut situasi.
Tegas dalam menyeru ke arah kebaikan. Lemah lembut dalam menegur dan
memberi nasihat. Tegas sangat orang memberontak, lembut sangat orang
pijak.
39. Latih diri memuji dan menghargai isteri. Ramai suami
yang pandai kritik tetapi tidak tahu memuji. Belaian merawat emosi dan
fizikal isteri dan membuat dia terasa disayangi. Cari peluang untuk
sentiasa memuji.
40. Cari peluang untuk bertindak romantis
terhadap isteri. Ini termasuk senyum, lemah lembut, sebut sayang tiga
kali sehari, buat sebelum disuruh, sentuhan sayang, pujian dan memberi
hadiah.
41. Fahami yang isteri ingin selalu di sisi suami.
Suami pula berjauhan dengan isteri sekali sekala. Apabila berjauhan,
telefon, SMS ataupun e-mel unutk bertanya khabar, berikan maklumat dan
mengubat rindu.
42. Bentuk kerjasama yang mantap dengan isteri.
Pamer kesatuan hati dan pendapat kepada anak-anak dan orang lain.
Wujudkan kerjasama melalui mesyuarat, berbual, tolak ansur,
bermaaf-maafan dan banyak berdoa.
43. Nilai diri daripada kaca
mata isteri. Buang sifat dan amalan yang isteri benci. Berusaha keras
melakukan perkara yang isteri suka. Apabila isteri bahagia, suami akan
bertambah bahagia.
44. Apabila suami melayan isteri seperti
mana dia melayan kawan, pasti isteri bahagia. Bayangkan cara anda
melayan isteri sebelum kahwin. Ulangi layanan itu sekarang. Pasti hebat
kesannya.
45. Suami wajar belajar jadi mengikut setia. Patuhi
cadangan, Pandangan dan pandapat isteri yang betul. Jangan bangkang
perkara yang baik. Kawal macho dengan saksama.
46. Buat
undang-undang dalam rumah tangga. Apabila suami marah, isteri mesti
senyap. Apabila isteri marah,suami mesti senyap. Ini mengelakkan
daripada bergaduh. Orang tidak boleh bergaduh sendirian.
47.
Latih gerak batin anda supaya serasi dengan gerak batin isteri.
Serasikan gerak batin dengan berdoa, patuh perintah Tuhan, maafkan
isteri, bersangka baik dan lakukan perkara baik untuk isteri mengikut
sebarang lintasan dalam hati.
48. Pimpin isteri dengan nasihat
dan kasih sayang. Pesan selalu dan nasihat sekali-sekala. Waktu terbaik
nasihat adalah semasa rehat, minum petang, waktu bersiar-siar dan semasa
hendak tidur.
49. Seimbangkan hidup dengan sempurna. Rajin di
tempat kerja, Rajin juga di rumah. Peramah dengan kawan, peramah juga
dengan isteri. Disiplin di pejabat, disiplin juga di rumah. Sabar dengan
orang, sabar juga dengan isteri. Di luar dan di dalam rumah serupa.
50. Urus stress dengan sempurna supaya keluarga tidak terjejas, lakukan
riaadah, berdiet, hentikan merokok,bercampur dengan orang positif,
bermain dengan bayi, tengok ikan di akuarium, menyanyi, sembahyang
taubat dan maafkan semua orang.