Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers
Ya Allah, jagalah dia dan hatinya, peliharalah dia dari sebarang fitnah wanita-wanita dan manusia yang jahat..dekatkanlah hatinya dgnMu..jika dia yang terbaik untukku, agamaku, kehidupanku kini dan akan datang, satukanlah hati kami.
Ya Allah jika dia adalah jodohku yang tertulis di Luh Mahfuz,aku ikhlas menerimanya dengan seadanya Ya Allah.
Satukanlah kami sepertimana Kau satukan Adam & Hawa
TETAPI
Jika dia bukan jodohku Kau tutupkanlah pintu hatiku untuk menerima cinta lelaki sehingga Kau memberiku cinta Luh Mahfuzku yang sebenarnya

Amin Ya ALLAH, Ya Rabbal Alamin :)

Kejarlah Cinta Allah

Posted by BiLa JeJaRi MeNaiP , Wednesday, November 7, 2012 5:48 PM

Sungguh. Dia terpempan! Hatinya bagai disiat-siat. Dunianya dirasakan kelam. Inilah rasa sakitnya putus cinta. Tidak pernah dalam kamus hidup Qistina dirinya dikecewakan, bahkan itulah cinta pertamanya. Cukup segalanya diberikan kepada insan bergelar sang arjuna. Disangka panas hingga ke petang, kiranya hujan di tengah hari. Fikirnya itulah insan yang bakal menjadi kunci pendua hatinya. Musnah impiannya untuk membina mahligai bahagia bersama si dia.
Turutkan hati sudah lama dia membunuh diri. Daripada menelan pil lebih dos, kelar tangan sehingga cubaan terjun bangunan, segala usaha sudah puas cuba dilakukan. Tapi, semuanya gagal.
"Qis, cukuplah Qis! Mak dah tak sanggup nak tengok Qis menderita lagi. Tak ada untungnya pun, mudaratkan diri adalah! Si Fuad tu bukannya kisah tengok keadaan Qis macam ni. Dia senang hati ...Qis yang tak tentu hala," sedih Puan Rahmah mengenangkan nasib puteri tunggalnya. Buntu melihat keadaan Qistina. Makan tak lalu, asyik terperap dalam rumah. Kerja entah ke mana, solat entah ke mana.
"Mak, Qis sayang sangat dia. Qis dah bagi segala-galanya. Qis tak boleh hidup kalau dia tak ada, lebih baik Qis mati je mak."
"Astaghfirullah! Mengucap, Qis. Ingat Allah. Bukan cinta manusia yang kita nak kejarkan, tapi cinta Allah." Puas dipujuk, hanya mati jua yang diluahkan oleh Qistina. Kalaulah dia sedar nikmatnya hidup Allah, pasti bukan ini yang dipinta.
Berbulan telah berlalu, namun masa masih belum mampu mengubat perih hati Qistina. Jiwanya masih belum benar-benar tenang. Terasa masih ada ruang yang kosong di hatinya. Tapi, apa? Kenapa tiada klu untuk soalan ini? Kenapa susah benar mahu lupakan kesedihan ni?
Malam itu Qistina terasa resah yang amat. Hatinya terasa pedih sangat. Bagai meronta-ronta meminta sesuatu yang tidak pasti. Kepalanya berat sekali. Tapi entah kenapa tangannya terasa ringan mahu mencapai bungkusan coklat di penjuru meja studinya. Itu pemberian terakhir Fuad sebelum mereka berpisah. Segala kenangannya sebelum itu telah dibakar, hanya tinggal bungkusan itu sahaja. Pelik, terasa sayang untuk membuangnya tapi dia belum ada kekuatan untuk membukanya. Baru malam itu dia seolah-olah diberi kudrat menyentuhnya.
"Qis, Fuad minta maaf. Mungkin ni kali terakhir kita berjumpa. Fuad rasa kita patut putus je. Fuad tak mampu nak bagi apa-apa pada Qis, cuma ni aja yang boleh Fuad bagi." Itulah kata-kata terakhir Fuad sebelum menyerahkan bungkusan coklat itu kepadanya. Tiada khabar lain selepas itu.
Hati Qistina meruntun kembali. Tapi digagahkan juga membuka bungkusan itu. Subhanallah! Terpacul kalimah itu daripada bibir Qistina. Sebuah mushaf berwarna hijau pucuk pisang dikeluarkan perlahan-lahan. Tafsir al-quran! Entah bila kali terakhir dia menyentuh kitab seperti itu. Air matanya berderai. Tidak mampu ditahan. Dibuka helaian pertama ...ada nota kecil didalamnya.
Buat Qistina, Fuad minta maaf seandainya tindakan Fuad betul-betul menghancurkan hati Qis. Jujur bukan itu niat Fuad sebenarnya. Pedih rasanya hati ni untuk mengambil keputusan seperti itu. Tapi, Fuad tak mampu. Tak mampu untuk berhadapan dengan Allah nanti. Cukup banyak rasanya dosa yang kita dah buat selama ni. Memang Fuad sayangkan Qis, tapi Fuad tak mampu nak letakkan cinta kepada Qis melebihi cinta Allah. Sebab tu Fuad tak nak jadi insan yang mengheret Qis ke neraka. Fuad bukanlah orang yang layak untuk menerima cinta sejati daripada Qis. Harga sebuah mahar cinta sejati itu terlalu mahal. Hanya mampu dimiliki oleh sang Pencipta sahaja. Sepertimana nama Nur Qistina Wafa' ...cahaya keadilan dan kesetiaan, begitu juga harapan Fuad. Berlaku adil dan setialah kepada Yang Esa. Hanya ini yang mampu Fuad berikan ....ayat-ayat cinta daripada Kekasih yang paling agung.
Lencun sudah baju Qistina. Air matanya tidak henti-henti mengalir. Diselak-selak lagi helaian berikutnya. Terdapat pula nota tulisan nama surah dan ayatnya. Dicari dan dibacanya satu persatu.
"Dan apabila hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka sentiasa dalam kebenaran." (Surah al-Baqarah, ayat 186)
"...dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." (Surah al-Baqarah, ayat 216)
Matanya tertancap pada ayat yang benar-benar menusuk jiwanya.
"Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram." (Surah ar-R'ad, ayat 28)
Ya. Inilah jawapan kepada seribu satu persoalan Qistina. Itulah pertama kali sejak kali terakhir dia bersujud di tikar sejadah. Malam itu menjadi saksi kehambaannya kepada Yang Esa. Entah berapa banyak air mata yang melimpah. Membawa diri untuk kembali kepada yang hakiki. Jauh di sudut hatinya, tiada apa yang mampu diluahkan '...Terima Kasih Kekasihku, bukan Engkau yang melupakanku, tapi aku yang terlupa akanMu.'
Sungguh. Benar. Memang dunia tidak cukup adil kepada kita. Tetapi Allah itu Maha Adil. Perancangannya cukup rapi untuk setiap makhluknya. Dia sentiasa menyimpan pelangi untuk setiap hujan panas yang dialami hambanya.

0 Response to "Kejarlah Cinta Allah"